‘Shu Qi, Marina serlah sikap wakil rakyat DAP malas membaca’ – bidas Puad

‘Shu Qi, Marina serlah sikap wakil rakyat DAP malas membaca’ – bidas Puad

WAKIL Rakyat DAP Wong Shu Qi patut membuat ‘homework’ terlebih dahulu sebelum memperkatakan sesuatu isu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas tindakan Ahli Parlimen Kluang itu yang didakwa memutar belitkan perkara yang berlaku dalam sidang DUN negeri itu.

“Sememangnya MP Kluang dari DAP Wong Shu Qi tidak ada standard. Dia tuduh DUN Johor yang bersidang semalam tolak Enakmen Anti Lompat Parti.

“Sebenarnya yang ditolak ialah usul Adun DAP dari Skudai supaya ditubuh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk buat kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti Lompat Parti,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian sebagai maklum balas hantaran Shu Qi di Facebook berkenaan perkara itu.

Menjelaskan mengenainya, Mohd Puad yang juga Adun Rengit berkata, DUN Johor menolak usul Adun Skudai dari DAP, Marina Ibrahim kerana RUU Anti Lompat Parti telah diluluskan di Parlimen.

“Yang ditolak bukan enakmen tetapi penubuhan Jawatankuasa Khas. Kerajaan beranggapan ia tidak perlu kerana RUU Anti Lompat Parti telah lulus di Parlimen dan sudah digazetkan.

“Seperti hujah Adun BN (Pemanis) Anuar Manaf, RUU Anti Lompat Parti sudah lengkap. Tidak perlu buang masa untuk dikaji lagi.

“Menurut Anuar lagi, kita hanya menunggu RUU itu dimasukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor,” katanya.

Mohd Puad berkata, perkara memalukan Shu Qi dan Marina ini tidak akan terjadi jika kedua-dua wakil rakyat DAP itu rajin membaca dan membuat ‘homework’.

“Nampak sangat MP DAP dari Kluang itu tidak buat ‘homework’. Adun Skudai dari DAP, MP Keluang juga DAP. Dua dua dari Johor. MP Kluang malas membaca ke?

“MP DAP dari Kluang itu juga tidak tahu jumlah kerusi yang BN menang. Dia kata 37. Sebenarnya 40. Memalukan.

“Wong Shu Qi tahu ke, rundingan (usul) DAP itu dibenarkan untuk dibahaskan. Itu sudah cukup baik. Janganlah dipolitikkan apatah lagi menipu,” katanya.

Senalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri itu tidak menolak Enakmen Anti-Lompat Parti seperti yang didakwa beberapa pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya menolak cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap enakmen berkenaan.

Katanya, ini kerana semua pihak di peringkat kerajaan negeri tidak mahu Adun melompat parti. – Malaysiapost

Komen