Teruskan siasatan terhadap penerima dana UKSB – Pemuda Amanah

Teruskan siasatan terhadap penerima dana UKSB – Pemuda Amanah

WALAUPUN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, siasatan terhadap penerima dana Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) perlu diteruskan.

Perkara itu ditegaskan Naib Ketua Pemuda Amanah Muhamad Fadzil Ahmad yang berkata, pendedahan dalam kes pendakwaan Presiden Umno itu telah mengaitkan beberapa tokoh pemimpin negara yang turut didapati menerima dana UKSB.

“Pemuda Amanah menghormati keputusan mahkamah yang membebas dan melepaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari pertuduhan rasuah dalam kes melibatkan syarikat UKSB.

“Kebebasan institusi kehakiman negara ini wajar dihormati dan terus diperkukuh oleh semua pihak.

“Walau apapun, kes rasuah terkait UKSB ini telah mendedahkan dakwaan-dakwaan lain membabitkan senarai penerima dana daripada UKSB yang terdiri dari kalangan ahli-ahli politik berprofil tinggi termasuklah mantan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Fadzil berkata, pihaknya berpandangan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan masih perlu dirayu ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

“Sebagaimana didedahkan oleh seorang saksi semasa perbicaraan dalam kes berkenaan, yang mengakui telah menyerah sejumlah wang mencecah jutaan ringgit kepada ahli-ahli politik tertentu yang disenaraikan dalam lejar UKSB dan berdasarkan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi SPRM.

“Oleh itu, kami menggesa agar siasatan terhadap senarai penerima dana UKSB tersebut tetap perlu diteruskan dan tidak terhenti lewat keputusan kes Zahid hari ini,” katanya.

Sebelum ini, beberapa tokoh pemimpin diberitahu di Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menerima dana UKSB.

Antara yang didakwa menerima dana tersebut ialah Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Hishammuddin Hussin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Malaysiapost

Komen