UNGA: Ucapan PM zahir pandangan tegas Malaysia isu serantau, antarabangsa

UNGA: Ucapan PM zahir pandangan tegas Malaysia isu serantau, antarabangsa

UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 hari ini, disifatkan sebagai pandangan yang komprehensif dan tegas Malaysia dalam isu-isu Serantau dan antarabangsa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata menerusi ucapan tersebut Perdana Menteri beberapa kali mengharapkan peranan PBB dan masyarakat antarabangsa yang lebih kukuh terutama dalam banyak isu penting.

Katanya, ia termasuk isu seperti dasar monetari, penyelesaian konflik dan krisis antarabangsa, sekuriti makanan dan perubahan iklim.

“Dengan penuh sindiran sinis dan tajam; sikap ‘double-standard’ masyarakat antarabangsa khususnya PBB dalam menguruskan isu pencabulan prinsip kedaulatan dan integriti wilayah – disampaikan dengan penuh tegas.

“Kesungguhan dan konsistensi sikap dan pendirian Malaysia dalam isu Palestin misalnya – dibangkitkan lagi. Kegagalan pelaksanaan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan juga disebut oleh YAB Perdana Menteri,” katanya.

Reezal Merican berkata, ia bersesuaian dengan tema UNGA iaitu ‘Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif Kepada Cabaran Bersaling Kait’, ucapan yang disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu itu sememangnya cukup bermakna dan mustahak untuk dilaksanakan PBB.

“Sebarang kelemahan dan kepincangan tadbir urus PBB – khususnya dalam menguruskan elemen kuasa veto dalam struktur Majlis Keselamatan sememangnya wajar dibangkitkan dengan lantang dan nyata.

“Tahniah YAB PM! Tahniah kepada seluruh petugas Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri melakar sejarah negara kerana menjadi pemimpin pertama negara berucap dalam Bahasa Melayu dalam Perhimpunan UNGA, di New York, Amerika Syarikat.

Tampil segak berbusana baju Melayu lengkap berwarna hitam, Perdana Menteri tidak canggung berucap dalam Bahasa Melayu yang menyentuh pelbagai isu termasuk isu global, peperangan Ukraine-Russia. – Malaysiapost

Komen