AGC syor hasil siasatan buku Tommy Thomas tidak didedahkan

AGC syor hasil siasatan buku Tommy Thomas tidak didedahkan

Aiman Hanif

JABATAN Peguam Negara (AGC) mengesyorkan supaya laporan pasukan petugas khas berhubung siasatan ke atas buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul “My Story:Justice in the Wilderness” tidak didedahkan kepada umum.

Menurut sumber, AGC telah mengemukakan syor berkenaan kepada kerajaan.”Berdasarkan syor yang dikemukakan, AGC berpendapat laporan pasukan petugas khas itu tidak wajar didedahkan kepada umum.

“Ini kerana pasukan petugas khas diwujudkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 8 Oktober 2021 selaras
dengan pelaksanaan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Malaysiapost.

Bagaimanapun berdasarkan dokumen syor AGC yang dilihat Malaysiapost jabatan itu tiada halangan jika siasatan dilakukan oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku dilakukan oleh Thomas.

AGC juga mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara (JAN) dan agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas AGC untuk menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku oleh bekas Peguam Negara era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu.

Malaysiapost difahamkan, hasil siasatan pasukan petugas khas telah diserahkan kepada pihak kerajaan. Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menggesa kerajaan supaya mendedahkan laporan hasil siasatan pasukan petugas khas berkenaan. Gesaan itu disuarakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Malaysiapost sedang berusaha untuk mendapatkan respons Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.- Malaysiapost

Komen