Anggap BN musuh utama PN, bukti politik jumud, kolot

Anggap BN musuh utama PN, bukti politik jumud, kolot

INILAH contoh kenapa lanskap politik Malaysia terlalu jumud, beku dan kolot, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengisytihar BN sebagai musuh utama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Abdul Rahman berkata, di negara-negara maju, parti-parti politik masuk pilihan raya untuk menawarkan harapan baru kepada rakyat dan membuat deklarasi membenci atau memusuhi parti lain bukan agenda utama mereka.

Tambahnya, parti politik di sana akan tawarkan apa yang mereka boleh hidangkan kepada pengundi mengenai masa depan rakyat dan kebajikan keluarga serta pembangunan ekonomi dan keselamatan.

“Umno/BN tidak mahu memasuki pilihan raya atas dasar membenci dan memusuhi parti lain. Umno/BN konsisten dalam hal ini kerana pada kami, pilihan raya adalah satu perkara mustahak dan serius yang jika diperlekeh boleh mengundang kesan negatif besar kepada rakyat.

Pilihan raya adalah perkara yang tidak boleh diremehkan. Itu yang berlaku pada 2018. Ingat, ini masa depan rakyat dan negara.

“Yang Umno/BN tawarkan ialah harapan dan cadangan solusi kepada masalah dan cabaran dihadapi rakyat dan negara. Yang Umno/BN mahu hidangkan ialah tekad untuk stabilkan negara demi kemakmuran rakyat dan negara. Semuanya positif. Tiada negatif,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata Umno dan BN tidak mahu rakyat mengundi mereka dalam PRU15 atas alasan parti lain adalah musuh yang jahat dan zalim kerana pendirian begitu tidak menjanjikan kehidupan lebih baik untuk rakyat.

“Jauh di lubuk hati, kami ikhlas mahu rakyat mengundi kami atas dasar kekuatan tawaran kepada rakyat serta halatuju kami untuk mengemudi Malaysia ke persada kegemilangannya semula, bukan kerana parti lain perlu dimusuhi.

“Itulah cara terbaik untuk menyihatkan semula keadaan politik negara kita yang sekian lama terjebak dalam politik peribadi, politik fitnah dan politik jalanan,” katanya. – Malaysiapost

Komen