Ayuh segerakan PRU15 sebelum musim hujan – Zahid

Ayuh segerakan PRU15 sebelum musim hujan – Zahid

UMNO sekali lagi mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan sebelum musim hujan.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia perlu diadakan sebelum negara berdepan lebih banyak kerosakan angkara kerakusan politik pihak tertentu.

Katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah pun memulakan gerakan melampaui batas ‘menyerang’ Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan itu boleh memberi implikasi negatif kepada negara kerana Pengerusi MPN sendiri menggambarkan kerajaan dianggotainya sebagai lemah dan gagal.

“Dengan demikian para pelabur asing akan melihat Malaysia bukan sebuah destinasi yang stabil dan kukuh untuk mereka membuat pelaburan.

“Sekali gus menyulitkan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia termasuk nilai mata wang yang kini berada paras menggusarkan.

“Lambat laun pasaran saham akan turut merundum apabila pelabur asing menjual saham tempatan untuk melabur di tempat lain,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Ahmad Zahid, beliau tidak pasti sama ada tindakan Muhyiddin itu satu lagi bentuk ugutan kepada Perdana Menteri atau sememangnya beliau sudah tidak mampu menyembunyikan muslihatnya.

“Untuk menangani risiko di depan mata maka kerajaan yang stabil perlu segera dibentuk dengan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh.

“Justeru, ayuh semua kita segerakan PRU15 sebelum musim hujan, sebelum negara berdepan dengan lebih banyak kerosakan angkara kerakusan politik musuh rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen