Bersatu fokus wujud pemerintahan bersih, berintegriti, prihatin rakyat

Bersatu fokus wujud pemerintahan bersih, berintegriti, prihatin rakyat

NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin yakin semua ahli dan pemimpin parti mengambil sepenuh perhatian terhadap ingatan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-6 Bersatu di Putrajaya semalam.

Radzi berkata, ingatan Muhyiddin khususnya mewujudkan pemerintahan bersih, berintegriti serta sentiasa prihatin rakyat perlu dipegang kerana ia matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Menyertai ahli, pemimpin dan pendokong Bersatu pada sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya semalam.

“Selain ucapan membakar semangat para hadirin oleh Presiden parti, sambutan turut dimeriahkan dengan penganjuran Jualan Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian dengan harga murah.

“Selaku Naib Presiden, saya yakin semua ahli dan pendokong parti mengambil sepenuh perhatian terhadap ingatan Presiden yang mahu setiap daripada kita sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan Bersatu sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan parti.

“Mewujudkan pemerintahan yang bersih, berintegriti serta sentiasa prihatin rakyat merupakan ingatan Presiden yang harus dipegang dan disebarluaskan kepada setiap pencinta Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Kanan Pendidikan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih dan syabas kepada mereka yang hadir menjayakan sambutan ulang tahun Bersatu. – Malaysiapost

Komen