Gagal bayar hutang RM3.93 juta: Zamsaham saman KAFA

Gagal bayar hutang RM3.93 juta: Zamsaham saman KAFA

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan pihaknya menyaman Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) susulan kegagalan melunaskan hutang sebanyak RM3.93 juta.

Perkara itu dikongsikan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, beliau terpaksa mendedahkan isu itu selepas mendapat pertanyaan daripada orang ramai.

“Saya sebenarnya nak diamkan sahaja, tapi selepas ramai yang tanya, maka memang benar saya saman KAFA kerana gagal bayar hutang sebanyak RM3.93 juta.

“Asal hutang KAFA 3.8 juta, naik ke RM3.93 juta sebab KAFA minta tambahan pinjaman. Tapi setakat hari ni satu sen pun belum pulang ke saya,” tulisnya.

Tambahnya, saman bukan sahaja dikenakan atas KAFA, malahan termasuk penjamin.

“Saman KAFA termasuk guarantor dari KAFA dibuat sekalian. Mudahan TRW Kelantan FC dapat wangnya semula. Doakan Allah SWT berikan kita kejayaan,” tulisnya lagi di ruangan komen.

Zamsaham sebelum ini dilaporkan membayar RM6.8 juta ketika proses mengambil alih pasukan The Red Warriors (TRW) dari KAFA pada September 2020.

Menurut laporan, jumlah itu membabitkan RM3 juta bagi pembelian Kelantan FC dan RM3.8 juta lagi adalah pinjaman kepada KAFA bagi menyelesaikan hutang kepada pemain dan agensi tertentu. – Malaysiapost

Komen