Kenyataan PN bagai membakar semula jambatan Muafakat Nasional

Kenyataan PN bagai membakar semula jambatan Muafakat Nasional

USAHA PAS membina kembali jambatan Muafakat Nasional (MN) yang terbakar terbantut apabila Perikatan Nasional (PN) tetap bertegas menyatakan Umno dan Barisan Nasional (BN) musuh utama mereka. 

Bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata PAS yang juga parti komponen PN berada dalam dilema susulan pendirian gabungan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu  

“Kenyataan bahawa “BN adalah musuh PN” meletakkan PAS dalam dilema. PAS baru sahaja berusaha membina kembali jambatan yang sudah mula terbakar dengan kenyataan oleh Setiausaha Agung PAS bahawa “BN bukan musuh PAS”. 

“Ia talian hayat kerjasama politik. Namun, ia tidak disenangi setengah pihak yang akan terjejas dengan kerjasama MN ini,” katanya dalan kenyataan. 

Semalam, Muhyiddin ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Bersatu menegaskan, musuh PN tidak lain dan tidak bukan adalah Umno dan BN pada PRU15 ini. 

Muhyiddin juga secara terbuka meminta penjelasan PAS berikutan pucuk pimpinan parti itu telah mengadakan pertemuan sulit dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini. 

Menjelaskan mengenai MN, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, gagasan itu telah melakar sejarah penyatuan dalam kalangan dua parti politik Melayu terbesar di tanah air, sekali gus menakutkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15. 

“Mereka sudah membayangkan sekurang-kurangnya 28 kerusi Parlimen yang akan terlepas kembali ke tangan sama ada Umno atau PAS menerusi MN. 

“Maka tidak pelik perancangan dibuat untuk membakar jambatan MN. Jambatan MN yang mula terbakar menjadikan PH bernafas kembali. Agenda untuk memecahkan MN sentiasa berjalan,” katanya. 

Justeru, Khairuddin menasihatkan kedua-dua ahli parti ini agar bertenang dan tidak terbawa-bawa dengan emosi untuk mengelak perpecahan MN lebih besar lagi. 

“Percikan api pertembungan antara PAS dan Umno sangat mudah merebak. Hanya dengan sedikit minyak, api menjadi marak kerana mereka telah bertembung selama 45 tahun sejak 1978.

“Ahli PAS dan Umno perlu berhati-hati dengan agenda perpecahan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen