Kenyataan ‘Zahid calon PM’ palsu – Ahmad Maslan

Kenyataan ‘Zahid calon PM’ palsu – Ahmad Maslan

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan menamakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegas Ahmad Maslan, kenyataan tular di media sosial berhubung perkara itu adalah palsu.

“Mudah sahaja untuk mengetahui benar atau tidak jika ada kenyataan daripada saya – check semua saluran media sosial saya iaitu twitter, fb, instagram, tiktok.

“Jika tiada, maka ianya palsu, fake. Dalam dunia ini memang ada sekumpulan manusia jahat dan bodoh yang kerjanya hanya membuat fitnah,” katanya menerusi di hantaran Facebook.

Ahmad Maslan turut memuat naik kenyataan tular itu yang mendakwa dikeluarkan olehnya selepas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan rasuah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan beliau sesuai diangkat sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu juga mendakwa perkara berkenaan akan dibincangkan mesyuarat MKT pada 30 September ini.

Selain dinyatakan desakan Parlimen dibubarkan segera supaya mandat dikembalikan kepada rakyat dan mengangkat kembali BN sebagai kerajaan manakala Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri ke-10. – Malaysiapost

Komen