Kes culik: Sekolah di Kelantan beri peringatan

Kes culik: Sekolah di Kelantan beri peringatan

SEKOLAH di Kelantan mengeluarkan surat peringatan kepada ibu bapa supaya mengambil anak mereka awal mengikut masa ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ini susulan dakwaan wujud kejadian kes culik membabitkan kanak-kanak kebelakangan ini.

Antara surat peringatan yang tular dikeluarkan sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) di Machang yang bertajuk ‘Makluman Risiko Culik’.

Menerusi notis berkenaan, ibu bapa dan penjaga diminta mengambil tindakan sepatutnya seperti berikut.

Iaitu menghantar dan mengambil anak mengikut ketetapan waktu, sentiasa memberi ingatan dan pesanan kepada anak-anak serta bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani sesuatu kes yang berlaku.

Bagi arahan dikeluarkan SK di Kota Bharu pula meminta ibu bapa memgambil anak awal iaitu jam 4 petang pada Ahad hingga Rabu dan jam 2 petang pada Khamis.

Arahan itu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak-anak dan ibu bapa juga diminta berpesan kepada anak supaya tidak mengikut orang yang tidak dikenali.

Sementara itu, memetik Berita Harian, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), mengesahkan terdapat sekolah yang mengeluarkan peringatan berkenaan.

Katanya, notis peringatan yang dikeluarkan itu adalah inisiatif sekolah masing-masing. – Malaysiapost

Komen