PAS mahu parti Melayu-Islam bergabung pimpin negara

PAS mahu parti Melayu-Islam bergabung pimpin negara

PAS tidak mahu hanya parti itu sahaja memimpin negara, sebaliknya menyeru semua parti orang Melayu Islam bergabung bersama-sama memimpin negara.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata semua parti berteraskan Melayu-Islam perlu bergabung terlebih dahulu bagi menjayakan misi memimpin negara bersama.

“PAS mahukan supaya Islam memimpin. Bukan hanya sekadar dalam kalangan ahli PAS, tetapi mesti digabungkan seluruh orang Islam terlebih dahulu.

“Kita mengambil contoh seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah.

“Apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Nabi menggabungkan Muhajirin, Aus dan Khazraj. Disatukan orang Islam supaya kuat dan menjadi tonggak kepada perpaduan di kalangan orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen ‘PAS Pilihanku’ peringkat negeri Perak di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, semalam.

Abdul Hadi berkata, orang bukan Islam yang tidak ekstrem menentang Islam boleh diajak untuk bekerjasama setelah kerajaan Islam terbentuk sepenuhnya.

“Kemudian diajak orang bukan Islam, Yahudi, Kristian dan Musyrikin yang tidak ekstrem. Inilah pendekatan yang diajar oleh Nabi SAW dan kita mengikut pendekatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, politik dalam keadaan Islam terancam adalah Fardhu Ain dan mengundi itu adalah kewajipan bagi setiap umat Islam.

“Tanggungjawab kita menyampaikan kepada anak-anak muda berumur 18 tahun yang bakal mengundi supaya tunaikan kewajipan mengundi. Kewajipan berpolitik ini fardhu ain dalam suasana orang Islam dalam bahaya.

“Kita harap anak-anak muda mengambil iktibar. Tunaikan tanggungjawab khususnya kepada anak muda Islam.

“Ramai anak muda yang menganggap mengundi itu tidak penting. Sedangkan kuasa politik ini bakal menentukan kedaulatan Islam,” katanya.

Justeru, Abdul Hadi menyeru setiap orang Islam mengundi parti yang dapat mempertahankan Islam.

“Undilah parti yang mempertahankan dan menegakkan Islam. Kita mesti bergabung dan bersatu dengan ikhlas, insya-Allah akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat,” katanya. – Malaysiapost

Komen