Petisyen mohon YDPA tidak perkenan PRU15 diadakan musim banjir

Petisyen mohon YDPA tidak perkenan PRU15 diadakan musim banjir

SATU petisyen dilancarkan bagi mendapat seramai mungkin tanda tangan rakyat yang membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.

Petisyen itu membantah jika kerajaan mengadakan PRU15 pada hujung tahun ini berikutan ancaman banjir seperti dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Petisyen dianjurkan sebuah NGO itu yang tular di media sosial, akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong agar tidak memperkenankan PRU15 diadakan pada tahun ini.

“Ampun Tuanku! Kami rakyat Malaysia dengan ini memohon perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong agar menghalang kerakusan ahli-ahli politik daripada membubarkan Parlimen pada musim banjir.

“Peristiwa banjir pada Disember 2021 masih segar di fikiran rakyat, 54 nyawa terkorban, dan lebih 71,000 rakyat dianjakan ke tempat sementara hanya untuk dipindah semula ke kawasan yang masih ada risiko banjir dan 31,000 keluarga terjejas akibat banjir kilat tidak lebih daripada setahun lepas.

“Kerosakan teruk melanda lapan negeri- Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, dan Kuala Lumpur. Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta untuk baik pulih rumah dan infrastruktur untuk rakyat, pun begitu rakyat merintih dan risau perihal keselamatan ketika musim banjir, apatah lagi untuk mengundi.

“Kami mohon Tuanku tidak bubarkan Parlimen pada musim banjir yang akan tiba. Para pemimpin sepatutnya belajar daripada musibah banjir tersebut dan memikirkan cara untuk melindungi rakyat. Tidak patut mereka mengetepikan keselamatan rakyat hanya untuk mengejar impian politik mereka semata-mata.

“Musim banjir semakin dekat menghampiri, namun para pemimpin kita lebih suka bercerita tentang pilihanraya. Tidak ada satu pun cerita tentang persediaan menghadapi banjir. Apakah langkah yang telah diambil bagi menjamin keselamatan rakyat terbela jika musibah banjir ini berlaku lagi?

“Ampun Tuanku, bimbinglah pemimpin kami sekalian agar menjadi wakil rakyat dan ahli parlimen yang mementingkan hal perihal rakyat dan gunakan masa yang ada untuk bersiap sedia menghadapi bencana.

“Rakyat sekalian menjunjung kasih. Daulat Tuanku!” kandungan petisyen itu. – Malaysiapost

Komen