Sanusi, usahlah kebudak-budakan – Umno Kedah

Sanusi, usahlah kebudak-budakan – Umno Kedah

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya tidak berkelakuan kebudak-budakan dan biadap hingga sengaja mencari gaduh dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata tindakan Muhammad Sanusi itu bukan saja menjejaskan imej Menteri Besar Kedah yang disandangnya, malah menggalakkan rasa kurang hormat rakyat kepada Raja-Raja Melayu.

“Jelas, beliau mempamerkan satu contoh teladan sikap buruk kepada rakyat khususnya generasi muda, lantas memalukan negeri Kedah.

“Usahlah buang masa dengan leka mencari gaduh di media sosial, banyak lagi kerja penting yang harus Menteri Besar Kedah laksanakan.

“Memupuk budaya negatif sebegitu bukanlah satu amalan matang sebagai pemimpin kerajaan negeri, malah memalitkan aib kepada imej Sultan Kedah yang melantik beliau sebagai Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sepatutnya, Syed Mohd Johan Rizal menegaskan, tanggungjawab Muhammad Sanusi adalah fokus menyelesaikan pelbagai masalah rakyat di Kedah.

“Beliau tidak perlu mencipta publisiti murahan dengan taktik berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di Kedah sejak beliau mentadbir negeri.

“Saya menyarankan agar Menteri Besar memfokuskan kepada isu keberkesanan khidmat SADA yang merudum di zaman pentadbirannya.

“Malah beliau wajar mengembalikan tumpuan kepada tindakan proaktif mengekang tragedi kepala air dari berulang di lokasi lain,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal menyarankan Menteri Besar melakukan post moterm berhubung kemerosotan negeri itu dalam bidang sukan.

“Selain mengambil tindakan “pre-emptive” pada risiko negeri pertanian ini dari ancaman perubahan iklim global, Muhammad Sanusi juga perlu mencari punca sebenar prestasi hambar skuad Kenari yang mencorot, sebelum “tertomos” ke liga yang lebih rendah pada musim hadapan.

“Seperkara lagi, prestasi Kontinjen Sukma Kedah juga gagal mencapai sasaran 25 emas, malah mencatat prestasi menurun apabila hanya mampu mencapai kutipan 16 emas yakni kurang dari temasya Sukma 2018.

“Selaku rakyat Kedah, saya berniat ikhlas menegur Muhammad Sanusi, apatah lagi tempoh beliau sebagai Menteri Besar hanya berbaki beberapa bulan saja lagi,” katanya. – Malaysiapost

Komen