Taburan hujan tinggi, risiko banjir tak sesuai PRU – Tuan Ibrahim

Taburan hujan tinggi, risiko banjir tak sesuai PRU – Tuan Ibrahim

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan tahun ini disebabkan taburan hujan tinggi dan risiko bencana banjir yang dijangka berlaku pertengahan November ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, negara akan menerima taburan hujan lebih pada pertengahan November berbanding bulan-bulan lain.

“Kalau buat PRU masa ini memang tak sesuai, kalau buat PRU, anggota polis kena jaga peti undi, mana hendak jaga keselamatan rakyat yang terjejas akibat banjir lagi.

“Tambahan pula, jumlah anggota polis tidak cukup untuk tampung semua ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Timbalan Presiden PAS itu ditemui media selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, Sungai Petani hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, selain situasi kini tidak mendesak untuk diadakan pilihan raya, PRU15 juga perlu dibuat dan dirancang dengan berhati-hati supaya tidak timbul sebarang mudarat dan masalah kepada semua pihak terutama rakyat. – Malaysiapost

Komen