Takut Langkah Sheraton 2.0 – Azis Jamman

Takut Langkah Sheraton 2.0 – Azis Jamman

TAN Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu telah memberikan nyawa kepada Barisan Nasional (BN) yang tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Ketua Pemuda Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata demikian susulan kenyataan Muhyiddin bahawa musuh utama Perikatan Nasional (PN) adalah BN.

Menurut Azis, Muhyiddin lupa siapa kawan dan lawan ketika senang sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan maruah untuk mengejar jawatan Perdana Menteri.

“BN dah dikalahkan dlm PRU14 yang lepas tapi Tan Sri hidupkan mereka semula dan bawa mereka ke Putrajaya.

“Mereka lantik Tan Sri sebagai Perdana Menteri sementara, Tan Sri lupa kawan masa susah malah bunuh kawan sendiri,” katanya di Facebook, hari ini.

Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin adalah komponen PH yang menerajui tampuk pemerintahan negara susulan menang PRU14 pada Mei 2018.

Bagaimanapun, Muhyiddin dan Bersatu menjadi punca tumbangnya kerajaan PH 22 bulan selepas itu apabila bertindak keluar dari PH dalam peristiwa yang dipanggil Langkah Sheraton.

Muhyiddin kemudiannya dilantik menjadi Perdana Menteri setelah menerima sokongan daripada BN termasuk beberapa Ahli Parlimen yang digelar beliau sebagai kluster mahkamah.

Bagaimanapun, Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menegaskan, mereka yang dikhianati Muhyiddin dan Bersatu tidak akan lupa peristiwa pahit itu dan bertekad memastikan Langkah Sheraton 2.0 tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

“Bila BN matikan parti Tan Sri, Tan Sri baru ingat dan cari kawan time susah dulu.

“Trust must be earned, not given. Takut nanti Langkah Sheraton 2.0 berlaku lagi bila kerjasama dgn parti Tan Sri. Biar kalah berprinsip, jangan menang menjual maruah.

“Dulu Tan Sri janji tidak masuk Sabah, yet first thing your party did in Sabah….broke the promise you made to Sabah by entering Sabah,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Warisan tumbang pada Ogos 2020 setelah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri itu ‘dibeli’ untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Azis juga menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan musuh utama Bersatu dan Perikatan Nasional pada pilihan raya umum akan datang ialah Umno dan BN seperti tidak kena sedangkan musuh utama itu yang diangkat mereka dahulu.

“Sekarang BN sedang membunuh parti Tan Sri? Itulah harga yang patut Tan Sri bayar apabila menjalinkan kerjasama dengan Syaitan. Selamat berjaya Tan Sri,” katanya. – Malaysiapost

Komen