4 kali pun boleh Tun M jadi PM asalkan…

4 kali pun boleh Tun M jadi PM asalkan…

EMPAT kali pun boleh, bukan setakat tiga, kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PAS itu berkata demikian berhubung hasrat Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga.

Bagaimanapun Takiyuddin menjelaskan,
Dr Mahathir boleh berbuat demikian jika mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen kerana tiada undang-undang menghalangnya.

“Asalkan ada sokongan majoriti dari Ahli Dewan Rakyat, dia (seseorang) boleh dilantik jadi Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin berkata, tiada undang-undang dalam negara ini yang menyekat seseorang individu daripada menjadi Perdana Menteri untuk beberapa kali.

“Dalam negara kita tiada undang-undang yang menyekat seseorang itu untuk menjadi Perdana Menteri berapa kali pun,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengumumkan beliau sedia untuk kembali dilantik menjadi Perdana Menteri kali ketiga, jika terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat namun jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. – Malaysiapost

Komen