Bersatu berani musuhi Umno kerana ada PAS

Bersatu berani musuhi Umno kerana ada PAS

BERSATU hanya berani memusuhi Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana adanya PAS bersama mereka dalam Perikatan Nasional (PN), kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Bersatu berani memusuhi Umno kerana ada PAS. Beranikah Bersatu memusuhi BN tanpa PAS sepertimana BN sanggup berlawan secara solo.

“Elok Muhyiddin kowtim semula Tun M (Dr Mahathir Mohamad) yang memang memusuhi Umno. 

“Malangnya Bersatu musuh yang tidak ada harga diri. Bukan sahaja didokong oleh ramai katak, tetapi takut ‘tekan butang’. Bersatu melukut di tepi gantang. Tumpang ihsan PAS,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Mohd Puad berkata, tindakan PAS yang tidak bersetuju dengan pendirian Bersatu telah memberi tamparan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, menurutnya, PAS konsisten menjadikan Pakatan Harapan (PH) dan DAP sebagai musuh utama yang perlu dikalahkan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

“Muhyiddin tidak perlu umum BN musuh utama PN. Sudah lama dia memusuhi BN. PAS pula malukan dia kerana umum secara terbuka, PH adalah musuh PN bukan BN.

“Muhyiddin memusuhi BN sejak dia naik pentas DAP. Sebenarnya dia benci Umno. Dia kowtim dengan Tun M tubuh parti Bersatu. Tujuannya untuk bunuh Umno di PRU14,” katanya. 

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, tindakan Muhyiddin tidak menghairankan kerana telah berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini. 

“Sebab itu apa yang mahu dihairankan. Rasa benci Muhyiddin kepada Umno cukup jelas di PRN Sabah, Melaka dan Johor.

Kelmarin, Muhyiddin dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun Bersatu mengingatkan partinya dan PN bahawa musuh utama mereka ialah Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum akan datang. 

Kenyataan Muhyiddin itu sekali gus bercanggah dengan kehendak PAS yang tegas menyatakan musuh utama mereka ialah DAP dan PH, bukannya Umno dan BN. – Malaysiapost

Komen