Bukan Bersatu, tapi Umno yang dulu musuhi Bersatu – Wan Fayhsal

Bukan Bersatu, tapi Umno yang dulu musuhi Bersatu – Wan Fayhsal

UMNO sebenarnya terlebih dahulu membuat ketetapan memusuhi Bersatu sekali gus enggan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Umno didalangi ‘kluster mahkamah’ menerusi dua Persidangan Agung Umno (PAU) konsisten memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

“Secara faktanya, Umno sendiri membuat ketetapan sewaktu dua Perhimpunan Agungnya pada 2020 dan 2021 bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

“Umum juga tahu ketetapan ini dibuat atas desakan ‘kluster mahkamah’ yang mempunyai kepentingan masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa Bersatu telah memecah belahkan perpaduan ummah susulan tindakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytihar Umno dan BN musuh utama mereka pada PRU15.

“Dalam menyentuh kenyataan Muhyiddin semalam berkenaan BN sebagai seteru pada PRU15, Shahidan sebenarnya telah terkhilaf. Siapa sebenarnya memecahkan perpaduan ummah seperti susu dibalas tuba?

“Apa yang disebutkan Tan Sri Muhyiddin bukanlah perisytiharan sebelah pihak, namun menyatakan situasi dibentuk oleh sikap segelintir pemimpin Umno sendiri yang mahu mengabaikan penyatuan dalam kalangan orang Melayu.

“Kenapa ia gagal dan siapa menggagalkan kalau bukan segelintir pemimpin Umno dan BN yang terpalit dengan kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa yang menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negara – mereka inilah musuh yang Tan Sri Muhyiddin sasarkan!” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, Bersatu secara konsisten berusaha untuk menjayakan perjuangan Melayu demi kepentingan umum golongan Melayu-Bumiputera yang masih memerlukan pembelaan.

“Kerajaan PN juga dibentuk dengan aspirasi menyatukan kuasa politik Melayu-Bumiputera dan parti tidak ekstrim yang sebelum ini berpecah teruk akibat fahaman politik sempit.

“Hakikatnya, Bersatu bukannya musuh Umno dan juga sebaliknya. Musuh Bersatu dan seluruh rakyat ialah korupsi dan kepentingan politik sempit pihak yang ingin melepas diri daripada kerosakan dibuat sewaktu mereka berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen