Buku Tommy Thomas: Apa yang mahu disembunyikan AGC, soal Puad

Buku Tommy Thomas: Apa yang mahu disembunyikan AGC, soal Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang didakwa mengesyorkan supaya laporan akhir pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya tidak didedah kepada umum.

Beliau yang hairan dengan perkara itu berpandangan, buku Tommy Thomas itu adalah bukti dan pengakuan nyata berlaku campur tangan perlantikan Ketua Hakim termasuk Peguam Negara.

“Bocor lagi dokumen kerajaan. Kali ini AGC mengesyorkan laporan pasukan petugas khas terhadap buku Tommy Thomas tidak didedahkan kepada umum. Apa yang mahu disembunyikan oleh AGC,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Mohd Puad, keadaan itu sekali gus memperlihatkan tindakan pelik AGC termasuk dalam kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Kenapa AGC buat keputusan yang pelik pelik. Antaranya enggan mendakwa Hakim Nazlan. Apa jadi kes Zeti kerana suaminya menerima hampir RM700 Juta darida Jho Low? Pelik betul melihat tingkah laku AGC,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan laporan akhir pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan dalam buku tulisan Tommy Thomas ‘My Story: Justice in the Wilderness’ akan dibentangkan kepada jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Untuk rekod, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu. – Malaysiapost

Komen