Didakwa perosak program GV9, Danial Zaini mohon maaf

Didakwa perosak program GV9, Danial Zaini mohon maaf

PELAWAK dan pengacara, Danial Zaini memohon maaf kepada peminat program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), yang kecewa dengan caranya mengendalikan pentas itu, malam tadi.

Bukan mahu memberi alasan, tetapi jelas Danial, dia diminta oleh pihak produksi untuk menggantikan tempat Nabil Ahmad, empat jam sebelum konsert berlangsung

“Mungkin ada tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Nabil tidak ada minggu ini sebab mempunyai komitmen lain. Saya pula memang setiap minggu kendalikan program GV Live +.

“Saya dihubungi pihak produksi sekitar jam 3 petang dan mereka kata kena ganti. Ada juga pihak produksi cari hos lain, tetapi mereka tidak dapat beri komitmen. Jadi, saya ambil tanggungjawab itu. Kalau tolak, saya tetap kena datang buat GV Live + juga,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Danial berkata, dia juga tidak sempat melakukan latihan memandangkan segala-galanya berlaku pada saat akhir.

“Memang tidak sempat buat latihan, malah cari baju pun saat akhir. Saya dapat skrip dalam dua jam sebelum naik pentas dan segera berjumpa Elly Mazlein untuk sesi bacaan skrip,” katanya.

Menyedari kekurangannya, Danial bagaimanapun memohon maaf kepada peminat GV9 dan menerima komen negatif itu dengan hati terbuka.

“Siapa saja ganti, mesti akan kena banding dengan Nabil yang sudah lama mengendali GV. Apatah lagi saya yang baru, masih setahun jagung dalam bidang pengacaraan.

“Saya faham sebagai anak seni, memang perlu berdepan kritikan. Apapun, saya tetap bangga dapat peluang jadi hos GV.

“Saya minta maaf kepada peminat GV. Ada yang kata saya rosakkan program dan anggap saya hos paling teruk. Saya reda dan terima.

“Pengajaran untuk saya, namun saya tetap akan terus belajar. Saya hanya melakukan kerja untuk mencari nafkah,” katanya.

Netizen sebelum ini, meluahkan rasa kecewa dengan cara Danial mengendalikan GV9 dan menganggap pelawak itu telah memberi imej tidak bagus untuk program kesukaan ramai itu. – Malaysiapost

Kredit Foto: Instagram Danial Zaini

Komen