Ini masanya ahli Umno kembali perkukuh kedudukan Presiden -Zaid Ibrahim 

Ini masanya ahli Umno kembali perkukuh kedudukan Presiden -Zaid Ibrahim 

AHLI Umno diseru memperkukuhkan kedudukan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai lambang kekuatan parti yang kuat dan bersatu padu.  

Perkara itu ditegaskan Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, inilah masanya ahli Umno kembali menujukkan kesetiaan kepada Presiden sekali gus kekuatan parti diperkukuhkan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.  

“Ini bukan masa kita menggambarkan benda-benda negatif, kita mesti menunjukkan perkara yang positif.  

“Jadi kalau kita perlu perkukuhkan kekuatan Presiden kita, inilah masanya. Bukan saya nak kata kedudukan Presiden tak kukuh, tapi maklum sajalah di zaman sekarang ini macam-macam boleh berlaku.  

“Ada orang kata ada gunting dalam lipatan, ada musuh dalam selimut, macam-macam. Tapi kita kena yakin bahawa kita ada kekuatan, kita kena berusaha memperkukuhkan kekuatan jentera dan kedudukan Presiden,” katanya dalam klip video di Facebook hari ini.  

Zaid yang kembali menyertai Umno setelah 13 tahun tetap yakin nilai-nilai tradisi orang Umno untuk terus setia kepada Presiden, bukan menyokong kerana menerima habuan sahaja.  

“Saya dengar jugalah ada ketua-ketua bahagian di peringkat bawah pada satu masa dahulu menyokong presiden, tapi katanya dah berubah.  

“Kalau begitu, kita kena buat kita kena ‘counter’ balik, mungkin presiden tak boleh nak bawa mereka ke New York, nak bawa mereka naik jet, tapi tak apalah lebih penting kepada ahli-ahli Umno di bawah sana ialah keihklasan, kesetiaan kita kepada parti dan sebagainya.  

“Nilai-nilai yang dahulunya memperkukuhkan parti kita masih ada. Bukan semuanya membelakangkan kesetiaan kepada parti.  

“Saya rasa di bawah sana masih ada orang Umno tradisional dalam erti kata lain masih lagi berpegang kepada nilai-nilai lama yang menunjukkan kepentingan  kesetiaan, muafakat, menghormati ketua dan sebagainya,” katanya.  

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid berikutan dibebas dan dilepaskan daripada 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat lalu. – Malaysiapost

Komen