Kempen lapuk ‘selamatkan negara’ dikitar semula – Zahida

Kempen lapuk ‘selamatkan negara’ dikitar semula – Zahida

KEMPEN lapuk dengan laungan ‘selamatkan negara’ kini kembali dikitar semula Pakatan Harapan (PH) dan bekas parti gabungannya Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan, berkata ia dilaungkan pihak berkenaan dengan harapan dapat sekali lagi menipu dan manipulasi rakyat seperti apa yang mereka telah berjaya lakukan pada PRU-14 lalu.

“Sudah hampir tahun 2023, masih ada lagi laungan ‘selamatkan negara’ daripada pemimpin yang sama pernah laungkan dulu.

“Kita imbas kembali kempen mereka pada tahun 2016 apabila DAP, PKR, Amanah dan Bersatu senada kononnya mahu selamatkan Malaysia.

“Ini bermakna kempen lapuk akan dikitar semula dengan harapan dapat sekali lagi menipu dan manipulasi rakyat seperti apa yang mereka telah berjaya lakukan pada PRU-14 lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, tidak dinafikan PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) selepas 60 tahun berjasa membina negara dengan dasar-dasar baik untuk rakyat.

“Tapi adakah segalanya lebih baik selepas 9 Mei 2018 lalu? Adakah prestasi PH selama 22 bulan lebih baik? Adakah prestasi kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri serpihan mereka Perikatan Nasional (PN) lebih baik?

“Tidak cukup dengan janji-janji palsu hingga PH digelar kerajaan ‘Kencing Rakyat’, akibatnya rakyat menolak mereka dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak,” katanya.

Zahida mengingatkan rakyat agar mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku selama 22 bulan PH memerintah dan menilai sendiri kerajaan mana yang terbaik mentadbir negara.

“Kita ambil pengajaran daripada apa yang sudah berlaku, semua parti politik sudah diberikan peluang mentadbir kerajaan, akhirnya rakyat bijak menilai yang mana kaca, mana permata.

“Yang mana satu kerajaan mampu memastikan kemajuan, kestabilan politik demi kemakmuran rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen