Kenyataan Muhyiddin terus disanggah

Kenyataan Muhyiddin terus disanggah

KENYATAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytihar Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN) terus disanggah.

Ia selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai Bersatu – parti pimpinan Muhyiddin, menyatakan akan terus menyokong calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor jelas senada dengan PAS yang bertentangan dengan yang diisytiharkan Muhyiddin.

“Selepas PAS, GRS pula buat kenyataan bertentangan dengan pendirian Muhyiddin. Kedua-dua PAS dan GRS tidak bersetuju bahawa BN adalah musuh utama mereka.

“Menarik untuk melihat perkembangan seterusnya,” kata Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Hajiji dilaporkan berkata GRS telah berjanji untuk bekerjasama dengan BN untuk bersama-sama membangunkan Sabah.

“Kalau di (Parlimen) Batu Sapi ini calonnya (daripada) GRS, kita minta BN juga menyokong calon itu. Kalau calon itu daripada BN, GRS juga akan sokong mereka.

“(Ini) kerana kita dalam satu kerajaan iaitu kerajaan GRS dan BN,” katanya pada majlis GRS di Batu Sapi di Sandakan, lapor Astro Awani.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian PN yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15 nanti.

Takiyuddin berkata, parti itu sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah PH dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.

Menurutnya, PAS optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik antara parti-parti utama Melayu Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU15. – Malaysiapost

Komen