Kerajaan perlu lakukan 5 langkah lagi tangani penipuan kewangan – Fahmi Fadzil

Kerajaan perlu lakukan 5 langkah lagi tangani penipuan kewangan – Fahmi Fadzil

TINDAKAN Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan lima langkah bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan atau ‘scam’ kewangan diterima baik oleh Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, berkata langkah berkenaan adalah baik bagi setiap bank dan beliau percaya ia mampu membantu mengurangkan jumlah jenayah scam.

“Saya alu-alukan dan terima baik pengumuman Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bahawa beberapa tindakan segera akan dilakukan institusi-institusi kewangan bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian (online scams).

“Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap tahun 20,000 orang menjadi mangsa scammer dan lebih RM660 juta dicuri oleh scammer-scammer ini. Ini bersamaan dengan lebih kurang 60 mangsa scam yang kehilangan RM2 juta setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berpandangan kerajaan juga perlu sekurang-kurangnya melakukan lima langkah segera memandangkan jenayah scam ini bersifat cepat berubah dan amat kreatif.

“Pertama, menubuhkan satu pusat anti-scam kebangsaan yang berpangkalan di BNM melibatkan kesemua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Peguam Negara dan lain-lain.

“Kedua, meminda atau mengubah had kerugian bagi transaksi dalam talian tanpa kebenaran dari RM25,000 ke RM100,000 bagi Ombudsman for Financial Transaction, supaya lebih ramai mangsa scammer akan mendapat akses perkhidmatan OFS;

“Ketiga, mewujudkan Dana Pemulihan (Recovery Fund) bagi membantu mangsa scam dari segi kewangan, sama ada dengan ganti rugi penuh atau separa penuh jumlah yang dicuri scammer,” katanya.

Menurutnya, langkah keempat adalah menubuhkan satu ‘high-level taskforce’ bagi mendakwa di mahkamah mereka yang terlibat membuat panggilan, menempat atau melindungi, serta merancang aktiviti penipuan ini, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol.

Beliau berkata, langkah kelima yang perlu kerajaan lakukan adalah menjalin hubungan pelbagai hala (multi-lateral) di antara negara-negara ASEAN untuk mempertingkat keselamatan siber negara masing-masing serta mewujudkan protokol-protokol kerjasama termasuk dari segi undang-undang bagi menghapuskan jenayah scammer di rantau ASEAN.

“Hari ini merupakan hari di mana perang menentang scammer mula beralih untuk memihak kepada rakyat.

“Namun perang ini baru sahaja bermula, dan tidak akan tamat sehingga kepala-kepala scammer berjaya didakwa di mahkamah, modus operandi scammer dipatahkan, dan mangsa-mangsa scammer mendapat keadilan,” katanya.

BNM mengumumkan lima langkah kawalan tambahan itu pada Pameran Jenayah Kewangan hari ini yang dianjurkan bersama PDRM.
Gabenor BNM berkata, langkah itu adalah peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan dengan penipuan kewangan; menetapkan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat buat kali pertama.

Beliau berkata, dua lagi kawalan tambahan adalah, pelanggan akan dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian; dan bank-bank akan dikehendaki mewujudkan talian penting yang khusus untuk penipuan kewangan.- Malaysiapost

Komen