Pasangan muda antara ditahan terbabit sindiket dadah

Pasangan muda antara ditahan terbabit sindiket dadah

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kediaman di kawasan perumahan sebagai stor pembungkusan dan penyimpanan dadah dalam empat serbuan di Iskandar Puteri dan Johor Bahru pada 23 September lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata serbuan dijalankan jam 9 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Johor itu berjaya memberkas lima suspek.

Menurutnya, tangkapan membabitkan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan.

Beliau berkata, suspek yang ditahan termasuk pasangan suami isteri berusia 22 dan 23 tahun yang dipercayai baru berkahwin lebih setahun lalu dan memiliki seorang bayi.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah manakala tiga suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Sindiket ini masih menggunakan taktik yang sama iaitu menggunakan rumah yang berpengawal dan berpagar. Ini adalah modus operandi yang polis kesan dalam beberapa siri serbuan sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan ini polis berjaya merampas 21,166 gram ganja bernilai RM52,915 dan 784 gram syabu bernilai RM14,112 dengan nilai keseluruhan RM67,027.

“Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM30,650, pelbagai barang kemas RM44,413 dan tiga kereta serta dua motosikal bernilai keseluruhan RM113,000.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan nilai sitaan adalah sebanyak RM255,090,” katanya.

Beliau berkata, sindiket dadah berkenaan dipercayai aktif beroperasi sejak Mac lalu dengan menjadikan kediaman teres dua tingkat sebagai stor dan membungkus dadah.

“Kesemua suspek kini direman selama enam hari mulai 24 September hingga 30 September.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain sebatan,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata dalam tempoh 1 Januari hingga 24 September lalu, Polis Johor berjaya membuat tangkapan seramai 10,556 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.72 tan dadah.

“Manakala nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM12.26 juta selain nilai sitaan adalah RM7.35 juta,” katanya. – Malaysiapost

Komen