Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia

Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menyifatkan pemergian ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi merupakan kehilangan besar buat umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Idris, Allahyarham adalah ulama, pejuang gerakan Islam dan pemikir Islam kontemporari yang banyak menyumbang kepada dunia Islam melalui keilmuan dan karya-karyanya yang masyhur.

“Mendapat perkhabaran duka tentang kewafatan al-Allamah al-Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi di Qatar pada usia 96 tahun.

“Beliau juga merupakan mantan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, sungguh besar peranan dan sumbangan belia demi kemaslahatan umat Islam dunia,” katanya.

Idris juga berdoa semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di di kalangan hamba-Nya yang soleh.

Terdahulu, media melaporkan, Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun, menurut Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (IUMS).

Allahyarham meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.

“Dunia Islam kehilangan seorang ulama dan guru yang jujur, alim, dihormati lagi disegani,” kata IUMS. – Malaysiapost

Komen