Peminat kecam Sumareh bagai De Paula 2.0

Peminat kecam Sumareh bagai De Paula 2.0

SELEPAS Guilherme de Paula, kini giliran Mohamadou Sumareh menjadi sasaran kemarahan penyokong Harimau Malaya.

Turun sebagai pemain sayap kanan untuk menggempur kubu Takijistan, pemain neutralisasi yang berusia 28 tahun lima hari lalu itu, mempersembah aksi longlai sepanjang final Piala Raja Thai, di Stadium Chiang Mai, Thailand, malam tadi. 

Penggempur Johor Darul Ta’zim (JDT) itu jelas tidak dapat membalas kepercayaan jurulatih, Kim Pan Gon yang menyenaraikannya dalam kesebelasan utama, mengenepikan Ariff Aiman di bangku simpanan. 

Mudah kehilangan bola, hantaran lemah, gagal menyaingi pertahanan lawan antara aksi buruk dipamerkan pemain kelahiran Gambia itu. 

Malah, Sumareh harus berterima kasih kepada pengadil kerana tidak melayangkan kad kuning kedua kepadanya yang boleh menyebabkan Malaysia beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak pertama.

Sejak malam tadi, peminat Harimau Malaya tidak dapat membendung kemarahan terhadap Sumareh, lalu menghamburkan perasaan amarah mereka di media sosial terutama di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). 

Rata-rata netizen menitipkan kecaman terhadap Sumareh di ruangan komen Facebook FAM yang menyifatkan pemain itu jelmaan De Paula 2.0.

Berikut antara komen-komen netizen:

“Merugikan saja Malaysia bagi kerakyatan kepada Sumareh. Menghabiskan boreh yo. Lebih baik bagi peluang kepada pemain muda. 

“Sumareh dan De Paula tiada bezanya. Adakah ini De Paula 2.0. Harap Kim Pan Gon tidak memilih dia lagi untuk perlawana akan datang. 

“Harimau Malaya tempang, Sumareh langsung tak berguna. Main macam sampah. Sia sia saja pemain ni dapat taraf naturalisasi. 

“Sumareh main bola kah atau makan angin? Kesian pemain lain, Sumareh bagai penumpang yang merencatkan permainan Malaysia”. 

Dalam aksi final malam tadi, Pan Gon membuat empat perubahan daripada kesebelasan Malaysia ketika menentang Thailand lalu. 

Selain Sumareh, pengendali dari Korea Selatan itu menurunkan Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor sebagai kesebelasan permulaan menentang Takijkatan. 

Harimau Malaya berjaya mengikat kedudukan 0-0 sehingga perlawanan tamat, namun cemas seketika di hujung permainan apabila Takijistan berjaya membolosi gawang gol Syihan Azmi. 

Bagaimanapun gol itu tidak dikira kerana offsaid yang memberi kelegaan kepada Malaysia untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti. 

Entah di mana silapnya, Malaysia gagal menyumbat walau satu gol dari tiga sepakan penalti. 

Dion Cools, Mathew Davies dan Safawi Rasid gagal menewaskan penjaga gol Takijistan yang muncul hero pasukannya. 

Misi Malaysia untuk mendapatkan kejuaraan yang kelima terkulai layu apabila tewas 0-3 dalam penentuan penalti. – Malaysiapost

Komen