Pemulihan ekonomi perlu sokongan industri perbankan – Tengku Zafrul

Pemulihan ekonomi perlu sokongan industri perbankan – Tengku Zafrul

CIMB Bank Berhad (Cimb) mengumumkan komitmen berterusan dalam menyokong pemulihan dan pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pembiayaan sebanyak RM30 bilion menjelang 2024.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia adalah usahasama antara CIMB dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) termasuk Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

“Semasa PKP dahulu, antara yang paling terkesan sudah tentu para usahawan atau Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

“Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan bantuan ekonomi dan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion sebagai tambahan kepada Bajet 2021 dan Bajet 2022. 

“Melalui Bajet 2022 juga, kerajaan terus memberikan penekanan dalam menyokong PMKS melalui Program Semarak Niaga dengan peruntukan RM40 bilion. 

“Tetapi untuk bangunkan semula ekonomi, kerajaan memerlukan sokongan semua pihak lebih-lebih lagi industri perbankan. Dan hari ini kita telah saksikan usaha daripada CIMB Bank bersama CGC dan SJPP,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Tengku Zafrul, komitmen RM30 bilion itu termasuk pembiayaan PKS yang akan dijamin oleh SJPP dan CGC, seperti Program Pembiayaan CIMB-CGC, Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dan Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).

Tambahnya, Bajet 2023 juga akan memberi tumpuan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan dan daya saing yang tinggi.

“Ia melalui penerapan teknologi yang inovatif, serta menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan PMKS negara ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen