Keberanian PM berucap dalam Bahasa Melayu di UNGA wajar dicontohi

Keberanian PM berucap dalam Bahasa Melayu di UNGA wajar dicontohi

Najamuddin Mohd Nor

SUDAH tiba masanya keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap menggunakan bahasa Melayu di pentas paling prestij dunia dicontohi dan diteruskan kesinambungannya di tanah air.

Ketua Umno Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad, berkata tindakan Perdana Menteri patut dipuji dan menjadi kebanggan rakyat Malaysia kerana berani mendaulatkan bahasa Melayu di pentas dunia.

“Perdana Menteri telah membuktikannya, malah menjadi kebanggaan apabila berbahasa Melayu pada persidangan tertinggi di pentas antarabangsa iaitu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 yang berlangsung di ibu pejabat PBB, New York.

“Kalau Perdana Menteri boleh, tidak berasa canggung, kenapa kita tidak boleh mewajibkan penggunaannya pada semua program kerajaan dan swasta menggunakan bahasa Melayu?” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Justeru, Azhar menegaskan, penggunaan bahasa Melayu patut diperluaskan bukan sahaja pada acara rasmi kerajaan, sebaliknya turut digunakan pihak swasta.

“Sepatutnya wujud perasaan malu kepada pihak kerajaan, glc, badan-badan korporat dan swasta jika tidak menggunakan bahasa Melayu pada mesyuarat, persidangan, seminar dan acara rasmi yang dianjurkan mereka.

“Perdana Menteri telah membuktikannya di persada antarabangsa, pastinya penggunaan Bahasa Melayu boleh dipraktikkan dengan lebih meluas lagi dalam sektor kerajaan dan swasta selepas ini,” katanya.

Azhar menjelaskan, tidak luntur maruah sesuatu bangsa dan negara sekiranya memartabatkan penggunaan bahasa Melayu seperti yang berlaku di Jepun dan Korea.

“Kita perlu mencontohi orang Jepun, Korea dan seumpamanya yang menggunakan bahasa ibunda sendiri di negara mereka.

“Mereka tidak hairan pun mempelajari bahasa asing, malah negara mereka pesat membangun dan maju.

“Tidak keterbelakang kita sekiranya kita berbahasa Melayu, malah akan menguatkan jati diri, menanam rasa lebih bangga dengan bahasa ibunda kita,” katanya.

Selain itu Azhar juga menegaskan, penggunaan bahasa Melayu digunakan pada dokumen-dokumen penting seperti kontrak perniagaan, pinjaman jual beli kereta dan rumah mahu pun pinjaman bank bagi mengelakkan orang ramai mudah terpedaya dan ditipu.

“Saya cadangkan guna bahasa Melayu bagi setiap dokumentasi kontrak melibatkan guaman, perniagaan dan urusan pinjaman bank.

“Guna Bahasa Melayu supaya kita sebagai pembeli atau peminjam bank lebih faham dengan klausa yang ada dalam setiap kontrak.

“Jadi tidaklah ada yang rasa tertipu, terlepas pandang dan juga rasa teraniaya sekiranya setiap kontrak dibaca menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Azhar menambah, bahasa Melayu perlu diangkat semula menjadi bahasa ilmu seperti yang berlaku 800 abad yang lampau.

“Segala surat, kitab, monumen zaman dahulu yang dijumpai semuanya berbahasa Melayu.

“Ada yang jumpa di Indonesia, Tanah Melayu, Thailand, Filipina… bahan-bahan sejarah yang saya katakan itu semuanya berbahasa Melayu.

“Ini menunjukka bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di nusantara, cuma resamnya, ia ditulis menggunakan tulisan jawi,” katanya. – Malaysiapost

Komen