PRU15: PM belum dapat ilham tarikh bubar Parlimen

PRU15: PM belum dapat ilham tarikh bubar Parlimen

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan bila beliau akan membubarkan Parlimen.

Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi Umno pada 30 September ini.

“Pada 30 September, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden Umno, berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT Umno.

“Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam itulah kita akan bincang,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa berada di New York dan adakah ia semakin dekat, Ismail Sabri menjawab “belum lagi.”

“Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara,” katanya.

Perdana Menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau untuk membangunkan kawasan seumpama itu.

“Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya sambil tersenyum. – Malaysiapost

Komen