Rakyat akan hukum Umno jika terima Pas yang masih bersama Bersatu – Isham Jalil

Rakyat akan hukum Umno jika terima Pas yang masih bersama Bersatu – Isham Jalil

TINDAKAN Pas yang ingin ‘makan keliling’ dengan mahu bekerjasama dengan Umno, namun dalam masa sama masih bersama Bersatu disifatkan sebagai mengambil kesempatan dan tidak boleh dipercayai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil, berkata seperti yang ditegaskan sebelum ini Pas perlu meninggalkan Bersatu jika ingin bekerjasama dengan Umno.

“Secara ringkas, dari dulu saya sudah kata bahawa jika Pas ingin bekerjasama dengan Umno, mereka perlu tinggalkan parti pengkhianat PPBM (Bersatu). Ini cadangan penyelesaian daripada saya buat Pas.

“Jika Umno terima Pas dan Pas masih ingin pikul pengkhianat PPBM tersebut, kita semua akan terkena ‘getah’ dan akan bersama-sama pula dihukum rakyat dalam pilihan raya kelak.

“Sebab rakyat tolak pelompat parti dan penipu manifesto iaitu PPBM ini. Ini bukanlah sesuatu tindakan yang bijak buat Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Islam mengajar untuk menjadi bijaksana dan tidak sewenang-wenang menerima pengkhianat, orang munafik atau pemecah belah ke dalam kesatuan.

“Pas tidak boleh harapkan dana dari Muhyiddin (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan pada masa yang sama minta kerusi dari Umno untuk makan keliling dan kira untung sahaja.

“Itu bukanlah strategi dalam adat persahabatan yang ikhlas, namun adalah strategi pengambil kesempatan orang-orang yang tidak boleh dipercayai.

“Sesuatu parti tidak boleh kira untung sahaja walaupun orang lain rugi dan ditipu atas alasan kononnya untuk penyatuan ummah,” katanya.

Beliau berkata, bagi Bersatu pula jika ikhlas ingin menyatupadukan orang-orang Melayu, maka parti itu mesti dibubarkan dan masuk semula Umno secara bersama dan Umno akan tentukan penerimaan semula.

Menurutnya, cadangan Bersatu untuk bekerjasama dengan Umno hanya untuk minta kerusi bukanlah suatu cadangan yang ikhlas mahupun praktikal dan akar umbi Umno tidak akan sokong pengkhianat yang meninggalkan parti itu ketika susah.

“Jika mereka ikhlas ingin kembali ke pangkal jalan dalam perjuangan orang-orang Melayu dan masuk UMNO semula, mereka (PPBM) tidak boleh desak untuk diberi kerusi pula.

“Namun jika PPBM dan Pas kedua-duanya degil dan hanya mahu dengar cadangan diri sendiri yang hanya mengambil kira dan pentingkan keuntungan diri sendiri sahaja, maka adalah lebih baik mereka bersama-sama kekal dalam Perikatan Nasional (PN) tanpa bekerjasama dengan sesiapa dalam pilihan raya umum yang akan datang ini.

“Dengan ini menang atau kalah mereka bersama tanpa menipu atau memuslihat orang lain untuk kepentingan diri sendiri,” katanya. – Malaysiapost

Komen