Sertai parti baharu, Khairuddin umum selepas Parlimen dibubar

Sertai parti baharu, Khairuddin umum selepas Parlimen dibubar

BEKAS pemimpin PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali akan memutuskan hala tuju politiknya sebaik Parlimen dibubar.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang keluar PAS pada Mac lalu, mengesahkan masih berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Mohd Khairuddin menjelaskan, keputusan muktamad sama ada menjadi calon bebas atau bertanding atas tiket parti baharu hanya akan diputuskan apabila tiba masanya selepas Parlimen dibubar.

“Buat masa ini, saya belum memuktamadkan lagi langkah seterusnya untuk PRU15, tumpuan adalah berkhidmat kepada rakyat kerana itu amanah dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus tanpa mengira warna parti.

“Apabila sampai masanya nanti saya akan umum tindakan saya sama ada bertanding sebagai calon Bebas atau mewakili mana-mana parti, tunggu sehingga kerajaan membubarkan Parlimen, baru saya sedia maklumkan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga berkata, setakat ini masih belum membuat keputusan untuk pulang ke pangkuan PAS meskipun timbul spekulasi menyatakan bakal sertai parti tersebut.

“Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah keluar masuk Umno, tak ada masalah. Kalau saya nak masuk semula PAS, saya kena buat surat permohonan baharu dan kelulusannya bergantung kepada pucuk pimpinan parti.

“Namun, itu semua belum difikirkan lagi kerana seperti saya tegaskan tumpuan dan fokus utama saya ketika ini hanya untuk rakyat di Parlimen Kuala Nerus dan yang lain berkaitan bertanding atau tidak, biarlah rahsia sehingga Parlimen bubar nanti,” katanya.

Jauh di sudut hati, Mohd Khairuddin mengakui masih sayangkan PAS walaupun ketika ini tidak lagi di bawah bumbung parti itu.

“Jauh di sudut hati, memang saya masih sayangkan PAS kerana saya membesar dengan PAS, ia medan dakwah sejak berusia 16 tahun dan saya telah berada dalam PAS selama 33 tahun.

“Keputusan untuk saya berhenti dibuat penuh beradab, ada sebab-sebabnya, tak apalah mungkin platform ini tak sesuai dengan saya, mungkin saya akan pergi platform lain tapi saya akan saya kekalkan hubungan baik dengan PAS demi Islam,” katanya. – Malaysiapost

Komen