Anwar gesa PM bawa usul khas tangani kenaikan harga barang, kejatuhan ringgit

Anwar gesa PM bawa usul khas tangani kenaikan harga barang, kejatuhan ringgit

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kerajaan membawa usul khas menangani krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan ringgit pada sidang Dewan Rakyat, Isnin ini.

Presiden PKR itu,berkata beliau juga sedia menawar diri selaku Ketua Pembangkang supaya diberi laluan untuk mengusulkan perkara itu bagi diberi keutamaan untuk dibahaskan.

Justeru, Anwar berkata, beliau juga sudah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat bagi mengambil tindakan segera untuk menangani krisis yang menjejaskan kehidupan rakyat.

“Permasalahan ini ternyata amat mengesankan rakyat serta negara dan ia perlu ditangani dengan kadar segera.

“Justeru itu, saya mencadangkan sama ada kerajaan untuk membawa usul khas terkait permasalahan ini atau memberi laluan kepada saya selaku Ketua Pembangkang untuk mengemukakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau turut mencadangkan agar permasalahan ini diberi keutamaan untuk dibahaskan dalam minggu pertama sidang parlimen yang akan bermula 3 Oktober ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengharapkan supaya kerajaan mengawal kedudukan tukaran asing bagi menangani isu kos sara hidup menerusi pembentangan Belanjawan 2023 nanti.

Beliau berkata, ini kerana kadar tukaran asing kita berada pada kedudukan jatuh ‘merudum’ serta tidak terkawal (free fall) sehingga menimbulkan kegusaran.

Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan kejatuhan ringgit terus berlaku sehingga menyebabkan segala apa yang dilakukan oleh rakyat sia-sia. – Malaysiapost

Komen