Bahasa Melayu lantang di persada dunia – Maslin Sham

Bahasa Melayu lantang di persada dunia – Maslin Sham

PENAMPILAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus menerima pujian pimpinan Umno.

Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman, menzahirkan rasa bangga apabila Perdana Menteri dengan berani menggunakan Bahasa Melayu di persada dunia tatkala pemimpin negara lain memilih menggunakan Bahasa Inggeris.

“Kita bangga bila Bahasa Melayu lantang di persada dunia,” katanya.

Maslin yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Chandan turut bersimpati dengan negara yang ditekan dengan kuasa veto sehinggakan tidak berani menggunakan bahasa negara sendiri.

“Kita turut simpati dengan keadaan negara-negara yang tertekan. Veto yang diguna secara tidak sihat harus berhenti sekarang,” katanya lagi.

Ismail  Sabri mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sesi ke-77 (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat, 24 September lalu.

Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

Perdana Menteri mengakhiri ucapan berdurasi 20 minit itu dengan ayat “United we stand, divided we fall”, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya”. – Malaysiapost

Komen