Bersatu-Pas setuju banyak perkara – Muhyiddin

Bersatu-Pas setuju banyak perkara – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pertemuan itu sangat bermakna dan banyak perkara yang telah dipersetujui terutama membabitkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN dalam menghadapi PRU-15,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berkongsi gambar pertemuan yang berlangsung di rumahnya malam tadi dan disertai Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin.

Pertemuan dan perbincangan kepimpinan dalam PN itu dipercayai susulan percanggahan pendapat yang ketara di antara Pas dan Bersatu berhubung kenyataan Muhyiddin mengenai Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama PN.

Pas pula ingin menjalinkan kerjasama dengan Umno bagi menghadapi PRU-15 dan perbincangan ke arah itu sudah dilakukan secara tidak rasmi oleh kedua-dua pimpinan parti berkenaan.

Terdahulu semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak boleh menerima pendirian pihak yang melabelkan pertubuhan Melayu dan Islam lain sebagai musuh utama mereka. – Malaysiapost

Komen