Guru besar nafi keluar kenyataan murid Tahun 1 hampir diculik

Guru besar nafi keluar kenyataan murid Tahun 1 hampir diculik

GURU besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 10, Padawan, Sarawak nafi mengeluarkan kenyataan berhubung seorang murid tahun satu sekolah itu hampir menjadi mangsa culik seperti yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata guru besar berkenaan yang dihubungi menafikan ada memberikan maklumat berkenaan kes terbabit.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya mengesan beberapa hantaran di laman sosial khususnya Facebook menyatakan bahawa seorang murid tahun satu di SJK Chung Hua Batu 10 hampir menjadi mangsa kes culik.

“Polis Daerah Padawan menafikan kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas kerana tiada sebarang laporan diterima berkenaan dengan kejadian culik yang berlaku di daerah Padawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, guru besar sekolah terbabit kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk menafikan pembabitannya serta mahu kenyataan itu tidak disebarkan lagi kerana ia tidak berasas.

“Semakan mendapati kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada fakta yang tidak nyata, hanya didengari secara verbal (lisan) daripada beberapa individu dan dipercayai telah ditokok tambah.

“Akibat kenyataan itu mendatangkan kebimbangan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat awam,” tegasnya.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan bantuan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan mendapatkan keterangan daripada pentadbir laman sosial Cats FM dan juga Samarahan Edition yang menyiarkan dakwaan kes culik berkenaan.

“Orang ramai dan juga pengamal media diingatkan agar mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan kenyataan seumpama ini.

“Sebarang kenyataan yang disiarkan tanpa pengesahan serta bukti sahib boleh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – Malaysiapost 

Komen