JAKIM anjur solat jenazah ghaib ke atas Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi

JAKIM anjur solat jenazah ghaib ke atas Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akan mengadakan solat jenazah ghaib hari ini ke atas ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi yang meninggal dunia semalam.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata solat jenazah ghaib itu akan diadakan serentak di tiga masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Menurutnya, solat jenazah itu akan dilaksanakan sejurus selepas solat Isyak pada malam ini.

“Sebagai tanda penghormatan buat Almarhum, JAKIM akan mengadakan solat jenazah ghaib serentak di tiga masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sejurus selepas Solat Isyak pada malam ini.

“JAKIM ingin turut menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan Solat Jenazah Ghaib buat Almarhum.

“Semoga jenazah Almarhum diampunkan dan dirahmati oleh Allah SWT jua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah bagi pihak JAKIM atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu.

“Sesungguhnya pemergian Almarhum suatu kehilangan yang amat besar buat dunia. Jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia.

“Atas jasa dan sumbangan Almarhum, Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Almarhum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1431H bersamaan tahun 2009M,” katanya.

Yusuf al-Qaradawi dilaporkan meninggal dunia pada usia 96 tahun dan berita sedih itu dimaklumkan oleh IUMS semalam. – Malaysiapost

Komen