Kes Ebit: Pengadu buat laporan di Kuala Lumpur, bimbang penduduk Tenom tahu

Kes Ebit: Pengadu buat laporan di Kuala Lumpur, bimbang penduduk Tenom tahu

MAHKAMAH Majistret Tenom dimaklumkan pengadu bagi kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew membuat laporan di Kuala Lumpur dan bukannya di daerah berkenaan.

Pakar motivasi yang juga saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, berkata tindakan berkenaan dibuat pengadu berikutan bimbang kes terbabit diketahui penduduk Tenom, lapor Kosmo Online.

“Pengadu memberitahu dia takut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom disebabkan ada saudaranya yang bertugas di balai berkenaan.

“Saya tahu kerana pengadu (identiti tidak boleh didedahkan) memberitahu yang Tenom ini sebuah daerah kecil dan ramai orang boleh tahu kalau dia buat ‘report’.

“’Report’ di Bukit Aman bertujuan untuk keselamatan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan balas peguam mewakili Ebit, Kamarudin Mohmad Chinki yang bertanya kepada saksi sama ada dia tahu punca pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Aman.

Dalam pada itu, Mohd Fairuz kemudiannya tidak setuju dengan cadangan Kamarudin yang menyatakan alasan diberikan pengadu bermaksud semua balai polis di Sabah adalah kecil dan semua orang boleh tahu sekiranya pengadu membuat laporan.

Selain itu, Mohd Fairuz juga tidak bersetuju dengan Kamarudin yang mengatakan pengadu membuat laporan polis di Bukit Aman adalah disebabkan mahu berjumpa dengannya untuk berbincang sebelum membuat laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, Fairuz bersetuju dengan Kamarudin yang dia ada berjumpa dengan pengadu pada 7 Ogos tahun lalu ketika pengadu membuat laporan polis di Bukit Aman. – Malaysiapost

Komen