‘MPN hanya penasihat, tiada kuasa pelaksanaan’ – Muhyiddin

‘MPN hanya penasihat, tiada kuasa pelaksanaan’ – Muhyiddin

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai kuasa pelaksanaan dan hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata segala perakuan MPN dibawa ke kabinet untuk kelulusan dan sebelum dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan.

“Sebagai Pengerusi MPN saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara.

“Kuasa ini adalah terletak di tangan Perdana Menteri dan kabinet. Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti perakuan yang dikemukakan dan melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhyiddin lagi, MPN turut dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerja Raya.

Selain, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

Terdahulu, dalam sidang media Muhyiddin turut menafikan dakwaan bahawa MPN ibarat ‘harimau tidak bertaring’ kerana setiap tindakan diambil adalah keputusan kerajaan, manakala majlis itu bersidang setiap bulan dengan membuat banyak perakuan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa dan hanya mahu semua pihak sedar bahawa negara tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.

“Walaupun terdapat petunjuk-petunjuk yang positif dari segi kadar pertumbuhan, kadar penggunaan (consumption rate), kadar pengangguran dan lain-lain, petunjuk-petunjuk positif ini adalah sementara sebelum negara kita berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan.

“Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan sekarang, rakyatlah yang akan menanggung sengsara,” katanya.

Beliau turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat dan meringankan beban rakyat terutamanya keasn kenaikan harga barang dan kadar inflasi.

“Saya juga berharap kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah-langkah yang seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat yang susah,” katanya. – Malaysiapost

Komen