Papan tanda restoran makanan segera musnah terbakar

Papan tanda restoran makanan segera musnah terbakar

SEBUAH papan tanda restoran makanan segera, McDonald’s di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru musnah terbakar dalam kejadian lewat petang semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial melalui video berdurasi 14 saat yang dirakam orang awam memaparkan api marak membakar struktur di papan tanda tersebut.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penguasa Bomba Kanan ll Mohd Kamal Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.50 petang.

Beliau berkata, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati papan tanda berkenaan sudah terbakar 80 peratus. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamal berkata, operasi pemadaman api tamat pada jam 7.16 petang dan kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan. – Malaysiapost

Komen