Pas boleh kuasai negara sepenuhnya jika diberi RM90 juta – Abdul Hadi

Pas boleh kuasai negara sepenuhnya jika diberi RM90 juta – Abdul Hadi

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan sekiranya benar partinya menerima dana RM90 juta daripada Umno seperti yang didakwa, sudah pasti membolehkan Pas menguasai negara sepenuhnya.

Menurutnya, jika benar Umno yang menyogoknya, maka parti itu sangat bodoh kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh diri sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, dengan RM90 juta pasti Pas lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas tanpa aqidah dan ideologi kerana kepelbagaian anutan ahlinya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar.

“Namun, Pas boleh bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan Umno.

“Tiba-tiba, Pas mampu menawan tiga negeri dan berada dalam Kerajaan Pusat dengan langkah mengajak Umno, Bersatu dan pihak-pihak lain bersama menumbangkan Kerajaan PH yang rapuh.

“Justeru, dengan RM90 juta jika benar adanya, sudah pasti membolehkan Pas menguasai negara sepenuhnya,” katanya dalam Minda Presiden Pas, di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, ahli-ahli Pas sebenar mengetahui pengorbanan menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal,manakala wakil rakyat PAS pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada partinya.

Menurutnya, Pas mempunyai lebih sejuta ahli, 197 kawasan selain ribuan cawangan, markas dan institusi pembelajaran yang mempunyai kakitangan dan memerlukan perbelanjaan lebih RM90 juta.

“Perkara ini dihadapi sebelum lagi berita fitnah RM90 juta yang telah dibuat kenyataan tiada buktinya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Walau apa jua tuduhan yang dilemparkan, ahli dan pemimpin PAS tetap percaya kepada pahala yang dijanjikan Allah SWT kerana aqidah perjuangan yang menjadi pegangannya,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas berusaha untuk mendapatkan kuasa bagi mencegah kemungkaran dengan tangan dan sekurang-kurangnya dengan lidah.

“Pas sangatlah berbeza dengan parti upahan dan pemimpinnya yang berbudi kepada yang memberikan sumbangan kepadanya supaya menjadi alat atau dipergunakan. Sehingga mereka sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara.

“Malah, terdapat parti yang pragmatik yang menjadikan kaedah matlamat menghalalkan cara untuk mendapatkan kemenangan mudah dan kuasa yang rakus. Parti tersebut menerima sesiapa sahaja, termasuklah kalangan yang liberal dan ateis.

“Mereka juga menerima apa sahaja sogokan daripada dalam dan luar negara, sehingga tiada maruah menunjukkan dendam terhadap lawannya, dan tiada kewarasan dalam tindakan apabila diuji dengan kemenangan,” katanya.

Beliau berkata, Pas akan terus berpolitik secara matang dan sejahtera menuju ke arah matlamat perjuangannya tanpa peduli terhadap apa jua fitnah dan tuduhan. – Malaysiapost

Komen