‘Pasukan Petugas Khas saran Tommy Thomas disiasat’
Aiman Hanif
PASUKAN Petugas Khas bagi menyiasat buku Tan Sri Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” tidak menolak kemungkinan wujud salah laku oleh bekas Peguam Negara itu ketika memegang jawatan berkenaan.
Berdasarkan dokumen laporan pasukan berkenaan yang dilihat Malaysiapost, Pasukan Petugas Khas mengesyorkan Jabatan Audit Negara (JAN) serta agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Pasukan Petugas Khas seterusnya mengesyorkan supaya JAN dan agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas AGC untuk menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku Thomas semasa beliau menjadi Peguam Negara.
“Siasatan ini harus memberi tumpuan antara lain, tetapi tidak terhad kepada, pendakwaan kes berprofil tinggi, pelantikan peguam luar dan penubuhan Tribunal Suruhanjaya Pilihan
Raya bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pekeliling dan/atau arahan yang tidak dipatuhinya semasa memegang jawatan Peguam Negara,” menurut laporan berkenaan yang dibentangkan kepada kerajaan.
Pada 25 September lalu, Malaysiapost melaporkan AGC mengesyorkan supaya laporan Pasukan Petugas Khas berhubung siasatan ke atas buku bekas Peguam Negara tidak didedahkan kepada umum.
Menurut sumber, AGC telah mengemukakan syor berkenaan kepada kerajaan.
“Berdasarkan syor yang dikemukakan, AGC berpendapat laporan pasukan petugas khas itu tidak wajar didedahkan kepada umum.
“Ini kerana pasukan petugas khas diwujudkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 8 Oktober 2021 selaras dengan pelaksanaan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Malaysiapost.
Dalam pada itu, Pasukan Petugas Khas telah mengemukakan syor-syor berpandukan kepada terma rujukan penubuhan Pasukan Petugas Khas itu.
Secara amnya, Pasukan Petugas Khas mendapati beberapa pendedahan, dakwaan dan kenyataan yang dibuat oleh Thomas dalam buku tersebut adalah mengelirukan, boleh disalah erti dan menimbulkan salah faham.
“Dapatan ini seterusnya memberi asas yang kukuh kepada Pasukan Petugas Khas untuk mengesyorkan agar siasatan lanjut dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku yang dlakukan Thomas,” katanya lagi.
Siasatan terhadap Thomas boleh dilakukan di bawah peruntukan- Seksyen 124 dan 203A Kanun Keseksaan iaitu, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.- Malaysiapost