PBB perlu lebih tegas main peranan dalam isu Palestin dan Myanmar – PM

PBB perlu lebih tegas main peranan dalam isu Palestin dan Myanmar – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih tegas dalam memainkan peranannya terutama berkaitan kepentingan rakyat Palestin serta Myanmar.

Perkara itu ditegaskannya dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung PBB António Guterres, ketika lawatan kerja ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sesi ke-77 (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Menurutnya, Malaysia konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang perlu dibebaskan daripada kekejaman Israel.

“Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin terutamanya dalam membebaskan diri daripada kekejaman Israel sehingga berjaya menubuhkan negara yang merdeka.

“Saya juga membangkitkan isu tentang kegagalan PBB yang dilihat seolah-olah bersikap ‘lepas tangan’ terhadap apa yang berlaku di Myanmar,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya malam tadi.

Beliau menegaskan, kekejaman terus berlaku di Myanmar dan Malaysia mahu supaya PBB bertindak membantu ASEAN untuk menyelesaikan masalah di Myanmar.

“Malaysia merasakan satu reformasi perlu diadakan terhadap PBB iaitu membatalkan kuasa veto yang dimiliki oleh negara-negara kuasa besar dunia,” katanya.

Ismail Sabri mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA77 di New York, AS dari 22 hingga 25 September lalu. – Malaysiapost

Komen