PKR mampu rampas kerusi DUN Beserah

PKR mampu rampas kerusi DUN Beserah

Ben Ibrahim

PKR Cabang Indera Mahkota melancarkan jentera pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah sebagai isyarat parti itu sudah bersedia untuk merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pelancaran jentera dilakukan Ketua PKR Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Semambu di pusat khidmat komuniti DUN Beserah, dekat Kuantan, hari ini.

Chean Chung ketika berucap merasmikan jentera itu meminta semua petugas di kawasan berkenaan melakukan persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan tarikh PRU15 semakin hampir.

“Tugas kita sekarang ialah memperkemaskan jentera sedia ada dan meneruskan kerja seperti biasa, terutamanya program turun padang bertemu dengan pengundi di sini.

“Selain merampas DUN Beserah, kita juga mahu mengekalkan kerusi DUN Semambu yang kita sandang sebelum ini.

“Walaupun tarikh sebenar PRU15 belum dimuktamadkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), namun berdasarkan perkembangan semasa, ia mungkin diadakan tidak lama lagi,” katanya.

PKR Indera Mahkota melantik Saifulzaman Mahmood sebagai penyelaras parti itu bagi DUN Beserah.

Chean Chung yang juga Ketua Komunikasi PKR Pusat memaklumkan, usaha berterusan daripada petugas dan jentera parti diharapkan dapat memberi kemenangan kepada PKR di kerusi yang disandang Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu sejak dua penggal lalu.

Sementara itu, Saifulzaman meminta semua pimpinan parti di peringkat Cabang dan Ranting Indera Mahkota dapat bekerjasama bagi memastikan usaha merampas kerusi DUN Beserah menjadi kenyataan.

“Petugas dan jentera di peringkat DUN sudah melakukan persiapan sejak awal lagi, jadi kita harap pimpinan juga turut sama membantu untuk memenangi kerusi DUN Beserah dalam PRU15 nanti,” katanya. – Malaysiapost

Komen