PM mengotakan janji dalam memartabatkan Bahasa Melayu

PM mengotakan janji dalam memartabatkan Bahasa Melayu

KEJAYAAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa Bahasa Melayu ke persada antarabangsa memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan itu di mata dunia.

Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, berkata terbukti pemimpin terdahulu tidak berkesempatan sampai ke tahap itu namun Ismail Sabri terbukti mengotakan janji dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

“Ini merupakan permulaan kepada kejayaan seterusnya dalam meperkasakan bahasa kita.

“Membawa suara Malaysia dan membuat pendirian tegas Kerajaan Malaysia terhadap beberapa isu global terutama soal penyalahgunaan kuasa veto dan kepentingan demokrasi sebenar yang harus dimainkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadikan Malaysia antara negara membangun yang berani bersuara dan mendapat pengikhtirafan dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaluzi berkata, kejayaan mengangkat Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa harus diraikan setiap warganegara tanpa mengira sempadan kaum, etnik dan agama.

Katanya, Bahasa Melayu harus dijadikan sebagai satu bahasa yang mampu menyatukan segala perbezaan kaum dan agama agar negara tidak digugat dengan perpecahan kaum.

“Tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri Malaysia. Kita sebagai #KeluargaMalaysia turut bangga dan pasti meraikan kejayaan ini bersama,” katanya lagi.

Ismail Sabri mengukir sejarah menjadi pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sesi ke-77 (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat, 24 September lalu.

Penampilan beliau menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa itu terus menerima penghargaan ramai pihak termasuk pejuang dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di negara ini. – Malaysiapost

Komen