Sentiasa berjaga-jaga, elak jadi mangsa jenayah siber kewangan – Tengku Zafrul

Sentiasa berjaga-jaga, elak jadi mangsa jenayah siber kewangan – Tengku Zafrul

BANK Negara Malaysia (BNM) diarah meningkatkan tahap standard keselamatan yang perlu dipatuhi institusi kewangan serta bekerjasama lebih rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras jenayah siber.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus telah mengumumkan lima langkah keselamatan tambahan yang perlu dilaksanakan institusi kewangan untuk melindungi pelanggan daripada ancaman penipuan semalam.

“Saya harap langkah-langkah ini akan dapat membantu mengurangkan insiden jenayah siber,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga mengingatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak diperdaya sindiket jenayah siber terbabit.

“Antaranya, menggunakan ‘password’ yang kukuh. Tukar ‘password’ dari semasa ke semasa. Jangan berkongsi ‘password’ dengan orang lain.

“Selain itu, sentiasa ‘update’ perisian keselamatan anda. Jangan klik link yang meragukan atau mempercayai maklumat daripada individu tak dikenali,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, beliau yakin sekiranya orang ramai mengambil langkah berhati-hati jenayah siber dapat dikurangkan serta mengelak daripada menjadi mangsa.

Semalam, BNM meminta semua institusi kewangan melaksanakan lima langkah tambahan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan atau ‘scam’ kewangan.

Nor Shamsiah berkata, langkah itu adalah peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat.

Selain, mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan dengan penipuan kewangan; menetapkan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat buat kali pertama. – Malaysiapost

Komen