Skim Wakalah Zakat kurangkan beban pelajar asnaf

Skim Wakalah Zakat kurangkan beban pelajar asnaf

Ben Ibrahim

SKIM Wakalah Zakat diperkenalkan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bertujuan mengurangkan kebergantungan dana sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu pelajar dan murid asnaf.

Jika sebelum ini, kebanyakan sekolah mengharapkan sumbangan ibu bapa atau penjaga, melalui skim ini beban kewangan bagi mengumpul dana PIBG akan dipermudahkan dan disalurkan kepada sekolah terbabit.

Pengurus Besar (Kanan) Zakat dan Wakaf Pahang Datuk Halidan Md Daud, berkata setiap sekolah yang menyertai skim itu layak menerima pulangan sebanyak 30 peratus daripada jumlah caruman atau pembayaran zakat tahunan mereka.

“Ini bermakna, jika kakitangan sekolah berkenaan mencarum atau membayar zakat (melalui PKZ Pahang) RM50,000 setahun, sebanyak 30 peratus daripada jumlah itu kita salurkan semula kepada tabung PIBG sekolah untuk diagihkan kepada pelajar asnaf atau tujuan penganjuran program kerohanian di sekolah.

“Jumlah ini bukan sahaja membantu pihak sekolah, tetapi turut memudahkan perancangan dibuat untuk menyalurkan bantuan kewangan atau pembayaran yuran atau pembelian peralatan sekolah kepada pelajar yang layak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Halidan berkata, terdapat kira-kira 200 sekolah menengah dan lebih 500 sekolah rendah di seluruh Pahang sudah menyertai skim itu sehingga awal tahun ini.

Katanya, lebih 90 peratus kakitangan sekolah di Pahang juga sudah membayar zakat melalui PKZ Pahang dan skim diperkenalkan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua pembayar zakat yang terus menyokong usaha dilakukan PKZ negeri.

“Kita hanya kembalikan semula zakat yang dibayar oleh mereka dan PKZ Pahang memberikan kebebasan kepada pihak sekolah mengenai kaedah pengagihan bantuan kerana mereka lebih mengenali pelajar atau murid yang layak menerima bantuan,” katanya. – Malaysiapost

Komen