Umno atau PN?, PAS akan putuskan dalam tempoh terdekat

Umno atau PN?, PAS akan putuskan dalam tempoh terdekat

PAS dijangka akan memuktamadkan hala tuju mereka dalam kerjasama antara Umno mahupun Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Pengerusinya PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendirian itu dizahirkan PAS menerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka, malam tadi.

Malah, Muhyiddin berkata, Abdul Hadi juga menjelaskan pertemuan beliau dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi baru-baru ini tidak mencapai apa-apa keputusan.

“Dia (Abdul Hadi) beritahu dia jumpa (Ahmad Zahid) lepas itu tidak ada apa-apa, katanya tidak ada hasil daripada pertemuan itu.

“Itu baiknya dia lapor pada saya, saya pun kalau jumpa sesiapa, kita lapor balik. Tidak ada benda yang kita sorok.

“Saya diberikan bayangan oleh Abdul Hadi bahawa kemungkinan PAS akan buat keputusan muktamad tentang hala tujunya dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan, beliau menyerahkan kepada PAS untuk membuat keputusan kerana beliau sudah memberi pandangan supaya PN tidak dilihat tidak kukuh dalam bentuk gabungan.

Jelasnya lagi, PN harus mengambil satu pendirian yang sama dalam semua perkara supaya tidak ada pertembungan kepentingan sekali gus menentukan kemenangan dalam PRU15.

Terdahulu, Muhyiddin berkongsi hantaran di Facebook mengenai pertemuannya dengan Abdul Hadi dan memaklumkan ia satu pertemuan yang harmoni.

Ditanya mengenai hasrat PAS untuk mewujudkan perpaduan ummah antara Umno dan PN, Muhyiddin berkata, hasrat itu baik dan beliau bersetuju namun, realitinya Bersatu tidak mungkin bekerjasama dengan Umno.

“Umno langsung tidak mahu kerjasama jadi kita terima itu sebagai satu kenyataan dan apabila hadapi PRU15 sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kita, kita akan tentang (lawan),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Menurut Muhyiddin, sebaliknya kuasa berkenaan terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet.

“MPN hanya berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan dan setiap setiap perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk diluluskan sebelum dilaksanakan di peringkat kementerian,” katanya. – Malaysiapost

Komen