Warga Jepun ditemui mati tergantung

Warga Jepun ditemui mati tergantung

SEORANG pengarah urusan sebuah syarikat ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam sebuah kilang di Perindustrian Ringan Sungai Tukang, Sungai Petani semalam.

Dalam kejadian jam 7.55 pagi itu, seorang pekerja menemui lelaki warga Jepun berusia 47 tahun itu, tergantung di tingkat bawah kilang berkenaan sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemeriksaan di lokasi turut menemui tangga di sebelah mayat mangsa yang tergantung pada ketinggian kira-kira lima meter.

“Hasil keterangan saksi, mangsa sudah hampir 10 tahun bekerja dengan syarikat berkenaan yang berpengkalan di Jepun.

“Mangsa yang menetap Bandar Laguna Merbok , sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang berada di negara asalnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaidy berkata, saksi turut mendakwa, mangsa sebelum ini pernah menceritakan mengenai keadaan syarikat yang dikatakan mengalami masalah kewangan agak teruk sejak dua tahun lalu.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat. – Malaysiapost

Komen